Jumaat, 26 Februari 2016

Majlis Pelancaran MULHAQ (Mulakan Harimu Dengan Al-Quran)

Majlis Pelancaran MULHAQ (Mulakan Harimu dengan Al-Quran) anjuran unit HEM sekolah telah diadakan di Dewan Hj. Noh  pada hari Jumaat bertarikh 26hb Februari 2016 bersamaan dengan 17 Jamadil Awwal 1437H. Majlis ini merupakan julung-julung kalinya diadakan di sekolah di mana pihak sekolah menerima sumbangan sebanyak 200 naskah tafsir Al-Quran cetakan edisi pertama  daripada syarikat Knowledge Inbound Sdn. Bhd. yang beralamat di Presint 8, Putrajaya. Tafsir Al-Quran ini akan digunakan oleh semua murid dan warga SAMAWAT seawal 7.20 pagi untuk membaca satu muka setiap hari sebelum kelas dimulakan.  Majlis dimulakan pada jam 7.20 pagi di mana semua murid dan guru berkumpul di dalam Dewan Hj. Noh. Kehadiran para tetamu disambut oleh Tuan Pengetua dan semua pentadbir sekolah.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan tuan pengetua SAMAWAT iaitu Tn.Hj.Nor Azam bin Abdullah. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada penyumbang naskah tafsir Al-Quran iaitu Encik Khairul Imran bin Che' Man iaitu CEO Knowledge Inbound Sdn.Bhd. Seterusnya majlis diperdengarkan dengan tazkirah ringkas oleh Al-Fadhil Ustaz Noh Fariq bin Omar Al-Hafiz iaitu Penasihat Agama, Bahagian Dakwah Knowledge Inbound Sdn.Bhd. Tazkirah bertajuk Niat disampaikan dengan bersahaja namun pengisian yang begitu padat dan terkesan. 

Seterusnya majlis pelancaran diteruskan dengan ucapan pelancaran oleh YBhg. Dato’ Hamzah bin Hussin, Pegawai Daerah Kerian dan di sambung dengan penyerahan Al-Quran kepada ketua-ketua kelas sebagai gimik penyerahan Tafsir Al-Quran kepada pihak sekolah. Majlis diakhiri dengan penyampaian Sijil Penghargaan. Majlis selesai pada jam 8.40 pagi dan semua tetamu diraikan dengan jamuan di kantin sekolah.














Jumaat, 19 Februari 2016

Majlis Bacaan Yasin & Tazkirah

Majlis bacaan yasin dan tazkirah SMASMW. Resam yang baik perlu diteruskan insyaallah. Walaupun pembesar suara kami hanya seketul. Sebesar botol air mineral 500ml. Alhamdulillah...




Khamis, 4 Februari 2016

Kejohanan Badminton MSSD Kerian

Sempena Kejohanan Badminton MSSD Kerian yang diadakan pada 2-4hb Februari 2016, SAMAWAT telah berbesar hati menghantar wakil peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 Ibnu Majah dan Tingkatan 5 Abu Daud. 

Pertandingan yang diadakan di SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar ini terdiri daripada 4 kategori; Perseorangan Lelaki (Bawah 18), Perseorangan Lelaki (Bawah 15), Perseorangan Perempuan (Bawah 18), Perseorangan Perempuan (Bawah 15). Hanya kategori perseorangan sahaja yang dipertandingkan pada tahun ini memandangkan peruntukan yang amat terhad pada pertandingan kali ini.

Pada awalnya, pihak pengurus pasukan bercadang untuk menghantar wakil bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Namun, disebabkan oleh kekangan kewangan dan yuran pendaftaran yang agak tinggi, maka pihak pengurus terpaksa memilih kategori tertentu sahaja dan ini telah dipersetujui oleh pengurusan sekolah. Namun akhirnya, menjelang hari pertandingan, kami dimaklumkan bahawa tempat pertandingan telah ditukar dan yuran telah dihapuskan (Alhamdulillah)... 

Walaupun sekolah tidak mendapat sebarang pingat bagi setiap kategori yang diwakili oleh peserta, sekolah turut berbangga dengan penglibatan pelajar yang memberanikan diri berhadapan dengan peserta dari sekolah lain. Murid-murid diharap dapat menyimpan memori ini sebagai pengalaman yang berharga di dalam hidup mereka.... amin..