Ahad, 24 April 2016

SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-70 SAMAWAT

SMA Shamsul Maarif Al-Wataniah (SAMAWAT) telah mengadakan Sambutan Ulang Tahun ke-70 pada 15 dan 16 April 2016 (Jumaat dan Sabtu). Program yang julung-julung kali diadakan ini adalah bertujuan menanam rasa cinta dan kasih kepada sekolah serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan murid, guru, ibubapa dan masyarakat setempat disamping mengenang jasa tokoh-tokoh terdahulu yang berjuang memartabatkan sekolah agama rakyat setanding dengan sekolah-sekolah lain dalam arus perdana.

Pada jam 3.00 petang (15 April 2016), telah diadakan Motivasi Guru bertajuk " Budaya Kerja Kelas Pertama" yang telah disampaikan oleh Tn. Hj. Gulam Muzammil bin PK Mohamed, Penolong Pengarah Unit Latihan Kemajuan Staf JPN, Perak.

Gotong royong menyembelih dan melapah seekor lembu sumbangan Lembaga Pengurusan Sekolah SAMAWAT telah diadakan pada jam 5.00 petang, 15 April 2016. Warga sekolah dengan kerjasama LPS,PIBG, Alumni SAMAWAT dan penduduk kampung telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja menyembelih dan melapah seperti yang telah dirancang.

Motivasi pelajar yang bertajuk ‘Imej Diri’  diadakan pada 15 April 2016 jam 9.00 malam bertempat di Dewan Hj. Noh SAMAWAT.


Majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun ke 70 dan Anugerah Kecemerlangan SAMAWAT telah diadakan pada 16 April 2016,jam 8.30 pagi bertempat di Dewan Hj. Noh. Warga SAMAWAT. Warga SAMAWAT amat berbesar hati menerima  kehadiran  Tuan Wan Ramdzan bin Wan Mamat, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sudi merasmikan majlis ini. Turut hadir ialah Pn. Hjh. Salmiah binti Sabran, Ketua Sektor Pendidikan Islam(SPI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta En. Zainizam bin Mat Yatim, Penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Majlis disempurnakan dengan acara memotong pulut kuning oleh Tuan Wan Ramdzan bin Wan Mamat, tayangan video SAMAWAT dan penyampaian cenderamata kepada waris Allahyarham Tuan Guru Hj. Noh.

Tuan Wan Ramdzan bin Wan Mamat serta Pn. Hjh. Salmiah binti Sabran juga meluangkan masa melawat asrama SAMAWAT serta merasmikan poster "KENALI PEMIMPIN PENDIDIKAN ANDA" dengan menandatangani poster yang digantung.

Kelab Sejarah SAMAWAT telah mengadakan pameran sejarah SAMAWAT. Pihak Klinik Kesihatan Tanjung Piandang dan Balai Polis Daerah Kerian juga telah mengadakan pemeriksaan percuma dan pameran. 

Pertandingan mewarnai kanan-kanak (bawah 7 tahun dan bawah 12 tahun), pertandingan anyaman ketupat, gubahan bunga, permainan boling kelapa dan pancing botol turut diadakan bermula pada pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang (16 April 2016).

Ceramah Perdana yang bertajuk "Rejab, Syaaban dan Ramadhan" telah diadakan pada 16 April 2016 (Sabtu), jam 9.15 malam bertempat di Masjid Jamek Tanjung Piandang, Perak.Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Zainudin bin Mohamed Zaini atau lebih dikenali sebagai PU Yeop.












































































Khamis, 21 April 2016

Khidmat PaKaR (Pasukan Konfigurasi Rangkaian) ICT

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pada 19 & 20 April 2016, SMA Shamsul Maarif Al-Wataniah telah menerima tetamu yang terdiri daripada 11 orang juruteknik Pasukan Konfigurasi Rangkaian (PaKaR)  bersama Pegawai Teknologi Pendidikan 1 PKG Kuala Kurau, Puan Wan Maszatul Laili.

Kehadiran mereka adalah untuk memberikan Khidmat Bantu Peralatan PPSMI dan Khidmat Bantu Rangkaian Netbook 1Malaysia. Berkampung selama 2 hari ini, kumpulan PaKaR amat membantu dalam menanggalkan 1 buah bracket, 1 projektor dan 2 screen di bilik darjah. Manakala khidmat bantu yang diberikan bagi justifikasi rangkaian pula, kumpulan PaKaR telah membantu menyelesaikan masalah software yang dihadapi daripada 41 buah Netbook 1Malaysia.



SAMAWAT mengucapkan ribuan terima kasih dan amat menghargai bantuan teknikal yang diberikan oleh Pasukan Konfigurasi Rangkaian (PaKaR) Daerah Kerian. Semoga segala usaha pertolongan dan bantuan mereka diberi ganjaran oleh Allah S.W.T. Amin Ya Rabbal Alamin.